JANUARI 2024

Transformasi Digital Untuk Manfaat Rakyat


KUCHING: Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mempunyai hala tuju jelas dalam agenda transformasi digital.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, ia susulan Kerajaan Sarawak mempunyai pelbagai rancangan yang memanfaatkan rakyatnya supaya tidak ketinggalan dalam pembangunan teknologi dan digitalisasi masa kini.

“Saya lihat di Sarawak pimpinan Premier, hala tuju sangat jelas dari segi apa yang hendak dicapai pada tahun mendatang serta cara untuk memastikan negeri ini tak tinggal dari sudut pendigitalan dan bergerak ke depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Sementara itu Gobind berkata, kunjungan hormat itu bertujuan memastikan matlamat sektor digital sedia ada di semua negeri diselaraskan dengan hala tuju kementerian yang akan diumumkan selewatnya-lewatnya Mei ini.

“Kementerian Digital kini sedang mengadakan lawatan ke setiap negeri bagi mendapatkan pandangan serta hasrat berkenaan hala tuju proses pendigitalan di setiap negeri, kemudian akan dibawa ke peringkat kementerian.

“Disebabkan itu ketika ini, kementerian dalam proses berjumpa dengan semua kerajaan negeri bagi mendapatkan maklum balas berhubung situasi sektor digital di negeri masing-masing,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Digitalisasi Datuk Wilson Ugak Kumbong; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi.

Sumber dari : Jiwa Bakti